top of page

Budak dua tahun pandai seni.


ree

"Umur baru setahun jagung."

"Apa yang boleh dia buat?"

"Bayi lagilah."

"Conteng bolehlah."


Persoalan tersebut sangat kritis. Hebat. Tapi kenapa saya rasa seperti tidak dipercayai? Saya nak tegaskan kanak-kanak berumur dua tahun apabila dah mampu pegang pensel, dia dah boleh berkarya. Tak percaya. Nak kena dengar orang putih beritahu baru percaya ya? Baiklah saya kongsi sedikit petikan daripada seorang pelukis hebat dari negara atas angin yang bernama Pablo Picasso. Siapa Pablo Picasso ni? Google lah sendiri. Ha ha ha . Jangan marah ya. Nanti kena jual.


ree

Ya semua kanak-kanak termasuklah yang berumur dua tahun adalah artist. Artist yang dimaksudkan ni bukan penyanyi yang hanya tahu menyanyi lagu yang dibuat oleh artist seperti pengubah lagu dan lirik tu ya. Ini artist yang menghasilkan karyanya sendiri. Tak fahamlah kat Malaysia ni. Kenapa orang yang menyanyikan lagu yang ditulis oleh orang lain tu dipanggil artist? Jika dia menyanyikan lagu yang dia cipta, tu betullah dia artist. Kalau setakat menyanyikan lagu orang itu namanya penyanyi bukan artist. Eh! menyimpang jauh. Maaf teremosi. Tarik nafas jap.




ree

Baik, kembali ke pangkal jalan. Kanak-kanak berumur dua tahun layak dipanggil artis sebab dia mampu menghasilkan karya seni.


"Apa yang budak umur dua tahun boleh buat?"

"Menconteng bolehlah"


Betul menconteng. Contengan itu adalah karya seni. Antara unsur seni ialah garisan. Dalam contengan, sarat dengan garisan. Apabila sesuatu yang mempunyai unsur seni maka ianya adalah karya seni. cukup setakat tu. Tidak perlu dibahaskan lagi.


Ini yang paling penting!


Ibu bapa dan guru sangat perlu memahami perkara ini. Memahami perkembangan pengutaraan tampak kanak-kanak sesuai ikut umur mereka. Apabila orang dewasa memahami tahap perkembangan pengutaraan tampak atau artistic development kanak-kanak ini, maka mereka akan lebih memahami kenapa perilaku kanak-kanak begitu. Ianya adalah berlaku secara semula jadi untuk memenuhi keperluan psikomotor dan juga kognitif mereka. Jangan marah bila anak menconteng dinding. Sebaliknya beri dia kertas, kadbod, pensel,pensel warna, arang, krayon, oil pastel, pen dan mungkin ranting kayu untuk dia menconteng di tanah. Galakkan dia menemui sesuatu yang baru. Meneroka dan menemui. itulah cara anak berkembang dan mengenal alam barunya setelah lama di dalam rahim ibunya.


Fasa menconteng ini jika menurut Herbert Read dari umur dua hingga lima tahun. Manakala Viktor Lowenfeld pula dari umur dua tahun hingga empat tahun. Menurut saya pula dari umur satu tahun lebih apabila kanak-kanak itu mampu memegang pensel dan mula menconteng sehingga umur empat tahun. Ikutlah nak percaya dorang atau nak percaya saya. Ha ha ha.



ree

Menurut Lowenfeld, anak-anak ni akan mengalami tiga peringkat contengan iaitu peringkat contengan tidak menentu, peringkat memberi makna dan peringkat fikir dan buat.


Pada peringkat contengan tidak menentu ini, anak-anak akan menconteng tanpa tujuan dan tidak menentu. ketika ini anak-anak berumur dua tahun atau kurang. Ketika ini ototnya masih lemah. Jika diberi kertas dan pen, dia akan menggerakkan seluruh tangannya dari bahu. Bila melihat sentuhan pen menghasilkan kesan di kertas, dia akan mengulang-ulang sehingga puas. Selalunya dari kanan ke kiri. Contengan anak-anak ini tak menentu. Contengan berlaku kerana garisan tidak terkawal. Contengan pertama kerana tidak sengaja. Contengan tu bersifat ekspresif kerana anak-anak ini gembira dan puas hati melihat hasil contengan itu. Contengan itu bersifat sembarangan, tunggang terbalik dan tidak tentu arah. Anak-anak ini menconteng untuk kepuasan diri semata-mata. Ada rasa seronoklah tu. Memang seronok buat kerja seni. Satu-satunya perkerjaan yang terawal ialah menghasilkan karya seni contengan. anak-anak ini memang artis sejati. Ha ha ha




ree

Ketika berumur tiga tahun, anak-anak dah mula menconteng untuk menunjukkan makna-makna tertentu. Contengan rupa bulat dah mula memenuhi ruang. Ketika ini anak-anak dah mula mengangkat mata pen dan menconteng di pelbagai ruang, berbeza ketika berumur dua tahun yang menconteng tanpa angkat mata pen sehingga puas.



Contengan juga sudah melihat kesan tebal, nipis, terang dan kabur. Ini berlaku kerana anak-anak sudah menemui kemahiran mengawal daya tekanan mata pen. Unik kan? belajar sendiri tu. Benda-benda yang diconteng telah boleh diberi nama tapi jawapan sering berbeza. Cuba tanya apa yang dilukis. Tentu ada jawapan yang tidak disangka. Seronok melayan mereka ketika ini.



ree


Apabila berumur empat tahun, anak-anak mula berfikir terlebih dahulu sebelum menconteng. Ini peringkat fikir dan buat. Contengan mereka ini dah memberi makna dan terdapat percubaan menggunakan daya imaginasi. Warna digunakan dengan tidak sengaja dan digunakan semata-mata untuk rasa gembira tanpa tujuan tertentu. Ketika ini anak-anak berumur empat tahun melukis rupa yang tidak terlalu besar dalam lingkungan 25 cm kerana perkembangan ototnya masih belum sempurna. Lukisannya juga berulang-ulang. Peringkat contengan ini akan berakhir apabila dia mula pandai mengawal berbagai-bagai gaya garisan. Setelah itu anak-anak ini sudah bersedia untuk memasuki ke peringkat yang lebih mencabar inteleknya.


Setelah membaca ini harap kita tidak mudah hendak menghukum yang kanak-kanak itu tidak pandai melukis. Berilah kata-kata yang akan mendorong mereka supaya berkembang dengan lebih baik.





 
 
 

Komen


bottom of page