top of page

Untuk apa anak-anak melukis? Supaya jadi miskin?


Saya melukis potret seawal umur enam tahun. Menjadikah potret itu? Apakah orang dewasa di kampung pada penghujung tahun 70 an dan awal 80 an peduli? Adakah kanak-kanak berumur lima dan enam tahun seperti saya ketika itu peduli? Rasanya tidak. Tetapi tentunya sangat bermakna dan memberi inspirasi apabila makcik yang saya panggil Ucu itu suka dengan apa yang saya lukis ketika di pusat trengkas itu. Mungkin cuma kerana pensel dan kertas itu mampu buat saya duduk diam melukis dan tidak mengganggunya atau sesiapa pun.


Sehingga hari ini saya fikir dan percaya melukis adalah merupakan satu keperluan kepada anak-anak. Keperluan untuk menajamkan psikomotor halus seperti jari jemari, menajamkan kordinasi mata dengan tangan yang melukis apa yang dilihat, menajamkan kognitif melalui pemerhatian subjek yang dilihat, dan tentunya keperluan rasa dihargai yang akan membentuk rasa yakin pada diri apabila ada yang menyukai apa yang dilukis itu. Keperluan ini sangat besar nilainya buat kanak-kanak yang baru hidup itu. Orang tua kata pucuk hijau yang baru nak tumbuh. Bila cahaya mencukupi semakin cepat ia tumbuh.

Keperluan psikomotor halus apa pentingnya? Cuba fikir. Apakah pekerjaan yang tidak memerlukan psikomotor halus? Pakar bedah? Dentis? Arkitek? Jurutera? Apakah pekerjaan yang menjadi harapan kepada sebilangan ibu bapa yang percaya anak mereka akan hidup senang dan berjaya jika menjadi pekerja profesional begitu? Apakah pakar bedah tidak menggunakan jari jemarinya untuk memegang pisau bedah dan menggerakkannya dengan kemahiran psikomotor yang hebat dan lembut memotong serta menghiris? Apakah pakar bedah tidak menggunakan kognitifnya meneliti sebagaimana pelukis meneliti apa yang mahu dilukis?


Kemahiran psikomotor memerlukan masa yang lama untuk dilatih. Semua kemahiran memerlukan masa. Oleh itu apa salahnya masa anak-anak dipenuhi dengan aktiviti melatih kemahiran psikomotor ini. Janganlah hanya kerana kegiatan melukis itu lebih dekat dengan pekerjaan sebagai sebagai pelukis yang dikatakan tidak menjamin hidup. Mahu sahaja saya menempelak mereka yang mengatakan pelukis tidak boleh berjaya. Apakah pandangan mereka yang cetek dan kurang pengalaman dalam bidang seni lukis ini penting? Apakah mereka bergaul dengan pelukis? Tahukah mereka ada ramai pelukis bergelar jutawan? Rasa nak marah sangat. Abaikan. Jika saya teruskan rasa marah ini, penulisan ini akan jadi mengarut.


pucuk muda

Rasa marah dan kecewa saya masih tak hilang ketika menulis anekdot ini. Maka saya teruskan juga menulis dengan emosi yang tidak stabil ini. Ha..ha... takut kehilangan idea yang sedang membara. Pandangan mereka yang cetek ini memang tidak penting kepada saya tapi sangat penting kepada anak-anak. Pandangan cetek mereka itu membantutkan perkembangan psikomotor anak-anak mereka. Melukis bukan hanya untuk pandai melukis dan kemudian jadi pelukis dan akhirnya jadi manusia miskin dan tidak berjaya. Tetapi pandangan mereka yang positif dan membina akan menjadi seperti cahaya yang diperlukan oleh pucuk daun hijau yang baru tumbuh untuk terus berkembang matang.


 
 
 

Komen


bottom of page